Saturday 13 October 2012

KATA GANDA


KATA GANDA

Dalam bahasa Melayu, proses penggandaan ialah proses menggandakan kata dasar. Tujuan utama proses penggandaan ialah untuk menghasilkan maksud jamak. Misalnya buku (sebuah buku) digandakan menjadi buku-buku akan menghasilkan maksud banyak buah buku). Bagaimanapun, terdapat kata ganda yang tidak membawa makna jamak seperti rama-rama, labah-labah, anai-anai dan sebagainya yang hanya merujuk pada seekor rama-rama atau seekor labah-labah sahaja (Mohd Ra’in.S, Abdullah.Y,  Abu Bakar.Y, 2011)

Para sarjana bahasa mempunyai pandangan yang agak sama mengenai penggunaankata ganda dalam pembentukkan ayat. Dalam buku Nahu Melayu Mutakhir oleh Asmah Hj. Omar menyatakan bahawa “kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar, sama ada kata ganda tersebut diulangi secara keseluruhan atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan”. Mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008) penggandaan merujuk kepada proses yang menggandakan kata dasar. Melalui proses demikian, kata dasarnya akan mengalami tiga proses penggandaan, iaitu ia boleh mengalami proses penggandaan penuh,  penggandaan berentak atau penggandaan separa

I.          Kata Ganda Seluruh

Kata ganda seluruh ialah kata dasar yang digandakan seluruhnya. Kata dasarnya boleh mengambil bentuk kata nama, kata adjektif, kata kerja, atau kata keterangan. Kata ganda seluruh digabungkan dengan tanda sempang (-).

Gandaan penuh boleh dibuat pada kata akar dan kata terbitan. Kata nama, kata kerja dan kata sifat jua boleh digandakan. Contohnya pulau-pulau, cantik-cantik, anak-anak dan lari-lari. Terdapat dua jenis pengandaan seluruh iaitu

i.          kata dasar tidak menerima imbuhan contoh: sekolah – sekolah-sekolah makan – makan-makan

ii.        kata dasar menerima imbuhanncontoh: pelari – pelari-pelari kekasih – kekasih-kekasih

Contoh penggunaan kata ganda seluruh dalam ayat:

i.          Kura-kura dapat hidup di darat atau di dalam air.

ii.        Pahlawan itu handal-handal belaka

Senarai kata ganda seluruh mengikut kelas kata.

i.          Kata Ganda Seluruh (Kata Nama)Contoh; gado-gado, kunang-kunang,  berang-berang, kupu-kupu.

ii.        Kata Ganda Seluruh (Kata Adjektif) Contoh: hitam-hitam, muda-muda, kaya-kaya indah-indah

iii.       Kata Ganda Seluruh (Kata Kerja) Contoh: main-main, pulang-pulang, marah-marah, duduk-duduk

iv.        Kata Ganda Seluruh (Kata Keterangan) Contoh: kadang-kadang, terang-terang, kalau-kalau, masak-masak

Kata ganda seluruh ada yang menyatakan maksud tunggal dan ada yang menyatakan maksud bilangan banyak/jamak.

i.          Kata Ganda Seluruh (maksud bilangan tunggal) Contoh: agar-agar, onde-onde, ampai-ampai, ilam-ilam

ii.        Kata Ganda Seluruh (maksud bilangan banyak)Contoh: sahabat-sahabat, rajah-rajah pintar-pintar, jari-jari

II.        Kata Ganda Semu

Kata ganda semu ialah kata ganda yang terbentuk daripada kata yang digandakan seluruhnya dan diberi tanda sempang. Kata ganda semu mempunyai makna yang khusus

Senarai Kata Ganda Semu contoh: kuda-kuda, kupu-kupu, kura-kura

III.       Kata Ganda Separa

Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Penggandaan separa berlaku pada dua jenis kata dasar, iaitu Perggandaan Separa pada dasar tunggal dan Penggandaan separa pada kata dasar yang berimbuhan.

Kata ganda separa ada yang menyatakan maksud tunggal dan ada yang menyatakan maksud bilangan banyak/jamak

i.          Penggandaan Separa pada kata dasar tunggal

Penggandaan Separa pada kata dasar tunggal ini lazimnya penggandaan atau kata ganda yang melibatkan pengulangan suku kata pertama

i.          Kata Ganda Separa (maksud bilangan tunggal) Contoh: kekuda tetulang jejentik sesiku

ii.         Kata- ganda separa (maksud bilangan jamak/banyak) contoh: lelada dedahan kekotak jejari

 

ii.         Kata Ganda Separa (Berimbuhan atau Terbitan)

Penggandaan ini melibatkan kata yang sudah mengalami proses pengimbuhan.  Pengulangan berlaku pada kata dasar dengan dua cara iaitu kata dasar diulang sepenuhnya dan awalan dirangkaikan di bahagian depan kata yang pertama atau penggandaan separa depan dan kata dasar diulang sepenuhnya tetapi imbuhan dirangkaikan di bahagian depan kata yang kedua atau penggandaan separa belakang. Kata Ganda Separa Berimbuhan atau Terbitan adalah merupakan kata ganda yang diberi imbuhan pada kata dasarnya. Kata ganda berimbuhan atau terbitan mesti disertai tanda sempang (-).Imbuhan boleh diletakkan. Di awal, di akhir, di awal dan di akhir (apitan), dan di tengah sebagai sisipan.

Contoh: Di bahagian belakang kata dasar

i.          Berlari-lari, mencari-cari, sepandai-pandai

Contoh: Di bahagian hadapan kata dasar

i.                 Cinta-mencintai, bantu-membantu, kejar-mengejar

 

IV.       Kata Ganda Bersajak atau Berima

Penggandaan jenis ini berlaku seluruhnya pada unsur dasar kata nama, tetapi pada masa yang sama berlaku juga penggantian pada salah satu konsonan atau vokal atau kedua-duanya dalam salah satusuku kata pada unsur yang menggandakan itu

Contoh bagi kata gandaan berima:

Pengulangan konsonan: tindak-tanduk, asal-usul, dentam-dentum

Pengulangan vokal: karut-marut, cerai-berai, sayur-mayur

Pengulangan suku kata: bukit-bukau, hina-dina, jongkang-jongket

PENUTUPAN

Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diperjuangkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Bahasa Melayu tidak menjadi penghalang kepada kedatangan, perkembangan dan penyebaran ilmu, malahan bahasa Melayu maju ke hadapan sebagai penghubung kepada banyak disiplin ilmu. Dengan yang demikian, bahasa Melayu mampu mengangkat martabatnya sebagai penaung ilmu yang sarat